Amatlah tidak sopan jika seseorang itu memiliki wajah yang cantik dan tampan tetapi tutur bahasanya diutarakan dengan kasar dan tidak sopan. Saya pernah melihat seorang wanita yang cantik dan kelihatan sopan mengenakan baju kurung sedang menunggu bas di pondok bas. Setelah beberapa seketika, nada dering telefon bimbitnya berbunyi. Sudahlah kuat, lagu irama rock dari barat pula tu. Apabila dia bercakap, terkeluarlah bahasa-bahasa yang kurang enak di dengar. Hal ini membuatkan mata-mata yang ada di situ tertumpu ke arahnya. Mungkin mereka juga beranggapan seperti saya juga.
Oleh itu, kita tidak perlulah berbangga dengan keadaan fizikal diri kita yang cantik kerana kecantikan yang sebenar ialah lahir daripada dalam diri. Kesopanan dan kesantunan ialah kecantikan yang abadi jika dilihat daripada pandangan mata hati. Kesimpulan di sini, kecantikan sebenarnya terlalu subjektif untuk dinilai kerana setiap manusia mempunyai pandangan yang tersendiri dalam menilai kecantikan. Namun, percayalah kecantikan diri seseorang itu sebenarnya terletak pada penjagaan kecantikan bahasa dan hatinya serta menjaga kecantikan akhlak dan peribadinya.
No comments:
Post a Comment