CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!

Sunday, January 23, 2011

Bahasa itu indah

Salam ukhuwah semua...

              Di sini, ingin saya katakan bahawa bahasa itu indah. Dalam bahasa Melayu sendiri adalah disarankan agar menggunakan kata-kata yang elok dan manis. Bahasa Melayu dilihat sebagai kata-kata pemanis dan penuh dengan maksud tersirat sebagai pengawalan kata-kata agar tidak melukai hati orang yang sedang bertutur dengannya dan bertapis daripada mengeluarkan kata-kata yang kesat. Inilah kehebatan orang Melayu dalam menjaga kesantunan bahasa ibundanya.  Dalam pantun Melayu ada mengatakan :

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

              Namun, baru sahaja saya terdengar sewaktu dalam perjalanan pulang dari kampus, saya terdengar salah seorang remaja Melayu kini sedang berbicara seperti ini :

"Bodoh punye perempuan. Kalau tak puas hati, cakap terang-terang. Macam s**l je".

             Begitulah antara kata-kata kesat yang dilemparkan kepada rakannya sehinggakan saya tidak sanggup untuk menulis kata "itu" di dalam blog saya ini. Di manakah kesopanan bahasa yang menjadi identiti orang Melayu kita.

             Bersopan santun dalam berbicara di kalangan remaja merupakan aspek yang menarik untuk dikaji dari pelbagai perspektif. Kesantunan bahasa ialah tatacara atau peraturan yang wujud dalam berbahasa dan dapat dilihat dalam interaksi antara dua atau lebih pihak yang berkomunikasi. Bahasa bukan setakat alat untuk menyampaikan maklumat semata-mata, tetapi turut berperanan dalam menyampaikan perasaan penuturnya. Melalui bahasa, kita dapat menyembunyikan dan mengungkapkan pemikiran kita.

             Dengan bahasa juga konflik boleh tercipta dan berakhir. Maka dengan bahasa yang kita gunakan itu boleh menggambarkan keperibadian kita, siapa kita, asal usul kita, sosiobudaya kita, pendidikan kita dan banyak hal yang berkaitan dengan kita, sama ada ia sesuatu yang baik mahupun sebaliknya. Islam sentiasa menganjurkan umatnya berlemah lembut dalam berbicara, baik dalam tutur bahasa dan juga nada. Pertuturan yang baik adalah cerminan hati yang bersih, tulus dan tenang. Pertuturan yang baik juga menggambarkan ketinggian akhlak yang dimiliki.



No comments:

Post a Comment