CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!

Friday, March 18, 2011

Johor pun ada dialek

Bersama rakan-rakan sekampung di Johor Bahru
    
     Johor terkenal dengan suku-suku seperti Jawa, Bugis, Banjar, Melayu dan beberapa suku kecil yang lain. Keunikan ini telah memperlihat pelbagai budaya yang berbeza-beza. Antara keunikan-keunikannya adalah dari segi makanan, perayaan, adat dan kepercayaan. Saya sendiri daripada suku Bugis yang diperturunkan daripada keturunan sebelah ayah. Ibu saya pula campuran Jawa-Melayu. Oleh itu, serba sedikit saya mempelajari budaya kedua-dua suku.

     Di sini saya ingin berkongsi antara budaya-budaya yang ada di Johor. Apabila terdapat kenduri-kendara di kampung saya, saya bersama saudara-saudara dan orang kampung akan bekerjasama menjayakan kenduri itu. Selalunya di sini masyarakat memanggil gotong-royong itu dengan nama "rewang". "Rewang" ini termasuklah dalam kenduri perkahwinan, kenduri tahlil, upacara potong jambul mahupun upacara-upacara seumpamanya. Selain itu, dalam budaya Bugis, apabila tiba musim perayaan, makanan tradisi "burasak" dan "lepat" menjadi santapan utama. Namun, saya menetap di luar kebudayaan suku-suku ini. Apabila sesekali balik kampung dan bertandang ke rumah arwah atuk, barulah saya merasai budaya mereka yang sebenar.

     Dalam berbicara mengenai dialek, masyarakat Johor juga mempunyai dialek yang tersendiri. Walaupun masyarakat Johor dilihat banyak menggunakan bahasa baku, namun sesetengah tempat terdapat penggunaan istilah tertentu. Oleh itu, sesetengah masyarakat Johor juga tidak menggunakan bahasa baku sepenuhnya. Jeda dan struktur penyususnan kata juga mempunyai perbezaan dengan dialek negeri-negeri lain. Di sini, saya akan memberi contoh kata dan struktur ayat dialek Johor.

Contoh kata dialek Johor :
Almari - Gerobok
Selimut - Gebo
Selipar - Selipo
Kereta - Motoko (orang lama-lama dahulu)
Tukar - Tuko
Sabar - sabo

Contoh ayat :
Mak, tak pegi paso ke hari ni?
Emak tidak ke pasarkah hari ini?


Aku belom abis blajo lagi kat UPSI.
Saya belum habis belajar lagi di UPSI.


Adik aku slalu masok tido awal.
Adik saya selalu masuk tidur awal.


Akak  ngah bako sampah kat umah die.
Akak sedang bakar sampah dirumahnya.


     Oleh itu, variasi sesuatu bahasa itu hanya dikuasai oleh masayarakat yang mendiami kawasan tertentu. Namun, dari segi penggunaan iaitu dialek ini mungkin berbeza mengikut kumpulan sosial dan situasi yang digunakan.



Bahasa menunjukkan bangsa


 
     Allyarham P.Ramlee sememangnya dikenali sebagi seniman yang serba boleh. Pelbagai watak dan dan peranan telah pun dilakonkannya. Banyak perkara yang dilalui oleh Allahyarham demi mengukur namanya di persada seni tanah air. Berdepan dengan masalah kontrak dan juga gaji, Allyarham tetap tabah mengharunginya.

     Filem Allayarham P.Ramlee mempunyai kekuatan yang tersendiri sehingga semua lapisan masyarakat meminati filem-filem di bawah arahannya. Filem-filem ini banyak mengandungi mesej yang berguna seperti yang telah saya muat naik sedutan filem daripada filem Seniman Bujang Lapok. Di sini, Allayarham P.Ramlee menunjukkan mesej bahawa semua orang harus menyapa orang lain dengan panggilan yang baik. Contoh sedutan filem ini mengajar kita cara menyapa orang dengan panggilan hormat. Sedutan filem di atas menunjukkan watak yang ditunjukkan oleh Sudin dalam menyapa seorang pengawal keselamatan di kawasan tersebut adalah kurang sopan dengan sekadar memanggil "woi woi" sahaja. Hal ini telah membuatkan pengawal keselamatan itu merasa agak marah kerana semua orang ada nama yang boleh dipanggil.

     Dalam bahasa Melayu Tinggi ada mengajar kata-kata sapaan yang boleh diguna agar teguran kita menjadi lebih sopan. Contoh kata sapaan yang mudah serta boleh digunakan secara umum ialah panggilan "saudara" dan "saudari". Panggilan ini lebih manis berbanding daripada memanggil orang denagan menggunakan kata "woi woi" atau seumpamanya. Lebih-lebih lagi jika anak muda ingin menyapa orang yang lebih berusia. Kata-kata haruslah dijaga agar tidak terguris perasaannya dan elakkan diri daripada bersikap kurang ajar.

     Filem-filem Allahyarham P.Ramlee boleh dikatakan sebagai filem agung kerana kebanyakan filem-filem yang disumbangkannya mengandungi banyak input bermanfaat yang boleh diambil sebagai teladan. Sehingga hari ini, filem-filem yang dibintangi dan diarahnya masih segar di hati masyarakat. Filem-filem beliau juga bukan sahaja diminati oleh masyarakat Melayu, bahkan masyarakat Cina dan India juga ada yang memnyukai filem-filem tersebut. Melaui mesej yang berguna yang hendak disampaikan oleh beliau dilihat mampu diperluas dan berjaya membawa ke segenap lapisan masyarakat.

Berjiwa muda

     Hari ini hari kedua kolej kediaman jiran saya iaitu Kolej Ungku Omar mengadakan satu karnival. Pada malam ini pula ada jemputan artis iaitu kumpulan nasyid UNIC bagi mengadakan persembahan. Walaupun suatu masa dahulu saya amat meminati salah seorang vokalisnya iaitu Fitri, namun malam ini saya hanya dapat mendengar lagu-lagunya sahaja kerana saya ada kerja yang perlu dibuat di bilik ini. Sambil menaip, saya menghayati satu-persatu lagu-lagu nasyid yang didendangkannya. Sambil menaip kerja di hadapan komputer riba saya ini, saya membuka laman sosial saya iaitu facebook untuk merehatkan mata seketika.

     Sedang saya leka melihat komen-komen di  facebook ini, salah seorang pensyarah yang saya kenali telah memasuki ruangan bualan saya. Di sini, saya akan menggelarkan pensyarah ini dengan panggilan pensyarah "x" sebagai menutup identiti sebenar beliau. Beliau boleh saya anggap sebagai "atuk" kerana usianya hampir dengan usia atuk saya. Saya seperti biasa membalas bualan-bualan yang diajukan. Ikuti dialog-dialog bualan menerusi ruangan bualan antara saya dengan beliau.

x       : Ada apa di kolej?
saya  : Maksud x KUO ke? Kalau KUO ada karnival. Sekarang ni pun sedang berlangsungnya persembahan nasyid UNIC. Datanglah.
x       : Saya letih hari ni.
Saya : Oh, kalau letih rehatlah di rumah ye.
x       : ANA RAFALI tak datang ke?
Saya : ANA RAFALI?

Anggota awal kumpulan nasyid UNIC

Ana Rafali


     Begitulah dialog perbualan di laman sosial facebook antara saya dengan pensyarah "x". Pernyataan beliau terhadap keinginan kehadiran Ana Rafali membuatkan saya ketawa kecil. Tidak mungkin pemenang Anugerah Juara Lagu ke-25  ini akan dapat menjejakkan kaki di sini ekoran kos artis yang mahal dan terkenal. Hanya kadang kala terdetik di hati ini, jemputan nasyid ini juga tidak kurang hebatnya. Suatu ketika dahulu, kumpulan nasyid ini popular dengan lagu "Hanya tuhan yang tahu". Lebih-lebih lagi, jemputan seumpama ini mempunyai kebaikan yang tersendiri seperti menyampaikan dakwah melalui nyanyian berbanding dengan artis-artis yang membawa lagu-lagu yang belum tentu ada mesejnya.

     Lebih mengejutkan lagi, pada usia ini, pensyarah "x" ini juga meminati dengan artis muda, cantik dan terkenal seperti Ana Rafali. Siapa sangka usia sebegini berjiwa muda remaja. Segala-galanya tidak mustahil kerana manusia mempunyai ragam yang berbagai-bagai.Kadang kala, apabila kita mengetahui tentang sesuatu persepsi,  kita akan berpegang persepsi itu dan menganggap semua yang berkaitan adalah sama. 
 Minat dan tanggapan manusia juga berbeza-beza. Oleh itu, jangan fikir semua orang adalah sama sahaja.  



Bersama kumpulan nasyid Destiny



Thursday, March 17, 2011

Kata-kata penyuntik semangat

Dato' Lee Chong Wei

Pemain bola sepak negara

     Malaysia Boleh! Inilah laungan semangat peminat-peminat badminton negara apabila menyaksikan pertandingan badminton yang diadakan baru-baru ini. Saya juga tidak ketinggalan untuk mengikuti perjalanannya dan meyokong pasukan negara yang diketuai oleh Dato' Lee Chong Wei dalam misi memburu kemenangan arena badminton. Laungan ini juga telah menyuntik semangat pasukan bola sepak negara yang mendapat jolokan sebagai pasukan "Harimau Malaya"  yang memenangi Piala Suzuki baru-baru ini.

     Kata-kata semangat ini seakan-akan menghidupkan jiwa orang yang ditujukan agar dapat melakukan sesuatu yang terbaik. Dalam kem motivasi sendiri, kita memerlukan kata-kata semangat agar kita lebih bermotivasi dalam membuat sesuatu perkara. Nilai saling memberikan kata semangat harus diadaptasikan agar hubungan antara dua pihak menjadi lebih erat dan saling memerlukan. Kata-kata semangat boleh dikatakan sebagai bahasa yang membina serta boleh membangkitkan inspirasi bagi mencapai kejayaan.
    


Semangat berpasukan dalam menghadiri kem motivasi - gambar hiasan

     Hal ini bermula dengan kata-kata yang baik dan tersusun agar pendengar yang mendengarnya tidak bertambah tertekan dengan kata yang diberikan. Selain daripada mendorong seseorang untuk bersemangat dalam melakukan sesuatu, kata-kata semangat ini juga boleh digunakan untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh seseorang. Melalui kata-kata semangat juga boleh membantu kesulitan yang dihadapi oleh seseorang melalui aspek psikologi. Kata-kata inspirasi ini dapat menyemarakkan semangat ingin terus berusaha dalam merealisasikan impian yang hampir padam. Hal ini terjadi kepada rakan saya.

     Rakan saya baru-baru ini sedang menghadapi pelbagai dugaan di dalam hidupnya. Dugaan yang diterimanya amat berat dan hampir-hampir dia berputus asa. Saya yang tahu akan keadaannya segera memberikan kata-kata semangat agar dia tidak lagi kecewa. Rakan-rakan yang lain turut membantu dirinya dengan memberi kata-kata dorongan agar dia tidak cepat mengaku kalah. Berkat dorongan dan doa, dia kini berjaya mencapai impiannya.    
    
     Semua orang di muka bumi ini memerlukan kata-kata semangat sebagai pendorong untuk membuat sesuatu perkara. Kata-kata dorongan ini boleh membangkitkan semangat dikala seseorang itu hampir berputus asa dalam melakukan kerja. Di samping itu, kata-kata dorongan ini boleh menjadikan jiwa seseorang itu menjadi tenang kerana merasakan dirinya ada orang yang masih ingin bersamanya walau dalam keadaan yang susah. Dia juga merasa lebih selesa jika rakan yang mendorongnya sudi berkongsi masalah dan mendengar segala luahan hatinya.
  


Munsyi Abdullah

Hikayat Abdullah
   

      Pada hari ini, kelas Karya Agung telah mengadakan pembentangan kumpulan kedua yang membincangkan Hikayat Abdullah. Saya telah didedahkan dengan latar belakang hidup Munsyi Abdullah dan falsafah-falsafah yang telah dihuraikan oleh kumpulan pembentang. Pensyarah yang menjadi pengelola kelas ini ialah Prof. Emeritus Abdullah Hassan. Saya amat mengenali keperibadian Prof. Ameritus Abdullah Hassan yang amat teliti mengenai bahasa. Beliau pernah mengemukakan rasa tidak puas hati terhadap isu PPSMI yang pernah hangat diperkatakan suatu masa dahulu. Beliau juga boleh menjadi mentor bahasa Melayu yang baik di samping mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

     Kembali kepada situasi yang ingin saya kongsi di sini berkenaan dengan pembentangan kumpulan yang diketuai oleh rakan sekelas saya. Dalam pembentangan tersebut, terdapat beberapa teguran yang dikemukan oleh Prof. Emeritus Abdullah Hassan terhadap kesalahan-kesalahan bahasa yang pertuturkan oleh rakan pembentang. Antaranya ialah penggunaan Munsyi pada awal atau akhir sesuatu nama.

     Menururt Prof. Emeritus Abdullah Hassan, “Munsyi” bermaksud guru. Kebanyakan orang mengungkapkan “Abdullah Munsyi” dan menjadi kebiasaan untuk menyebut dengan susunan kata sedemikian. Beliau menegaskan penggunaan “Munsyi” ini perlu di awal sesuatu nama. Hal ini merupakan struktur susunan nama yang betul. Alasannya, penggunaan “Munsyi Abdullah” merupakan susunan kata bahasa Inggeris yang diserapkan dalam bahasa Melayu. Oleh itu, kami telah ditegur agar menggunakan struktur susunan kata yang betul dengan menyebut “Munsyi Abdullah”.

     Selain itu, gaya penampilan semasa membentang juga ditegur oleh beliau. Termasuklah gaya berdiri yang betul dengan menggunakan kedua-dua belah kaki agar kedudukan ketika berdiri menjadi stabil. Seorang bakal guru perlu menunjukkan keperibadian yang meyakinkan serta menunjukkan identiti seorang guru yang berkualiti. Contoh terdekat yang boleh saya jadikan model seorang pendidik bahasa adalah dengan mencontohi keperibadian pendidik Prof. Emeritus Abdullah Hassan. Beliau berani menegur kesalahan pelajarnya demi membentuk keperibadian pelajar sebagai pendidik yang unggul secara terus.


Pembentangan kuliah Karya Agung







Penghilangan unsur ayat

     Penghilangan unsur dalam ayat sering kita lakukan dalam percakapan. Unsur yang digugurkan dalam dialog yang berikut terjadi apabila situasi atau konteks pertuturan itu secara keseluruhan sudah diketahui atau disebutkan sebelumnya oleh orang yang terlibat dalam pertuturan tersebut. Misalnya:


Karim : Ke mana?
Muaz : Rumah.
Karim : Kenapa?
Muaz : Lupa.

     Dalam dialog di atas, ada unsur subjek dan predikat yang digugurkan menjadi ayat-ayat yang pendek. Namun begitu, ada unsure yang digugurkan itu dapat dipulangkan. Oleh itu, dialog tersebut mungkin dapat dilengkapkan saperti berikut :

Karim : Kamu hendak ke mana?
Muaz : Saya hendak pulang ke rumah.
Karim : Kenapa kamu perlu pulang ke rumah?
Muaz : Saya lupa menutup pintu.

     Ayat tidak lengkap banyak terdapat seperti situasi pertama memberi pelbagai persepsi terhadap tujuan pertuturan kedua-dua penutur. Lazimnya, ayat-ayat yang pendek ini memperlihatkan bahawa penutur dan pendengar yang terlibat dalam komunikasi tersebut sudah mempunyai pengetahuan tentang isi yang diperbualkan. Selain itu, bentuk penulisan yang tidak lengkap ini juga banyak dalam cerita cereka.




Gambar hiasan


Dia yang salah cakap atau kita yang salah dengar

     Bahasa secara umunya digunakan untuk bercakap bagi menyampaikan maksud penutur. Namun, tidak semua komunikasi dapat berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan kerana kadangkala bahasa yang digunakan itu kurang jelas sehingga menjadi gangguan kepada komunikasi. Salah satu gangguan komunikasi ialah kekaburan dalam bahasa.

     Kekaburan boleh berlaku dalam bentuk tulisan dan penulisan. Kita sering tersalah tafsir makna apabila sesuatu pertuturan itu dipertuturkan dengan cepat. Dalam komunikasi lisan, kekaburan itu berlaku apabila intonasi jeda pada atau frasa salah diucapkan. Contohnya ayat di bawah ini :

Membeli di kantin.

     Jika kita menutur dengan cepat, bunyinya akan kedengaran seperti “membeli kantin”. Hal ini seperti menggugurkan “di” daripada ayat tersebut. Kesimpulannya, komunikasi boleh terganggu disebabkan adanya kekaburan dalam menggunakan bahasa dari sudut jeda. Kekaburan berkait dengan penggunaan bahasa dan konteks bahasa itu digunakan. Oleh itu, dalam berbahasa, kita perlu mengurangkan kekaburan dengan menggunakan kata, frasa atau ayat yang tepat dan jelas bagi memudahkan orang lain mentafsir makna lisan ataupun tulisan.



Lewah

     Dalam meniti kehidupan menjadi bakal seorang pendidik bahasa Melayu, saya banyak didedahkan dengan pelbagai bentuk pengajaran bahasa untuk memperkasakan bahasa Melayu ke dalam diri. Tatabahasa menjadi panduan saya untuk membina kata atau ayat yang betul dan tepat. Kesemua tugasan yang sedang saya siapkan memerlukan pembinaan ayat yang betul dalam bentuk penulisan ilmiah. Kesalahan bahasa sering berlaku dan kadang kala saya sendiri terlepas pandang berkenaan dengan kesalahan bahasa di dalam penulisan ilmiah saya. Walau bagaimanapun, saya tetap menjadi kesalahan-kesalahan bahasa ini sebagai satu proses pembelajaran yang akan membantu saya membuat dengan lebih baik daripada sebelum ini.

     Kelewahan penggunaan bahasa sering terjadi dalam pembinaan ayat. Kelewahan penggunaan bahasa juga dapat dikesan melalui tulisan dan lisan. Kelewahan ini terjadi apabila telah menjadi kebiasaan sehingga tanpa disedari kelewahan itu menimbulkan kesalahan bahasa. Misalnya frasa “destinasi yang dituju” ternyata tidak tepat dan dianggap lewah :

“Mereka sampai ke destinasi yang dituju pada pukul dua petang”.

     Kelewahan dalam bahasa dianggap sebagai suatu yang biasa dalam penggunaan bahasa kerana manusia suka berlebih-lebih dalam penggunaan bahasa. Gejala kelewahan dalam bahasa berlaku kerana masyarakat suka menambah satu atau dua perkataan bagi menegaskan sesuatu idea. Begi mereka, penambahan unsur yang sama maksud dapat memberikan kejelasan dan keberkesanan mesej yang ingin disampaikan. Oleh itu, mereka cenderung melakukan kelewahan dalam binaan ayat. Namun begitu, dari sudut pembelajaran bahasa, kelewahan dalam bahasa perlu kita hindari. Hal ini demikian kerana kelewahan akan menjadikan ayat yang dibina itu tidak gramatis.



Sebutan mengikut huruf

     Pagi ini, saya telah mempelajari satu lagi perkaitan bahasa dalam kehidupan. Kadang kala, kita tidak sedar walaupun kita telah bertutur dalam bahasa baku, tetapi masih lagi ada kesalahan bahasa yang tidak sengaja dilakukan. Misalnya pembentangan yang telah saya saksikan tadi. Pensyarah telah menegur beberapa kata yang tidak disebutkan dengan lengkap. Walaupun kelihatan mudah, namun sedikit sebanyak dapat membuka minda saya untuk berfikir dengan lebih mendalam tentang teguran tersebut.
    
     Dalam pengisian Fonetik dan Fonologi, setiap huruf harus disebut dengan jelas. Misalnya teguran yang telah dibuat tadi berkenaan dengan kata “getar” yang telah disebut dengan sebutan “geta”. Situasi ini seperti menggugurkan huruf “r” dan telah menjadi kebiasaan dalam pertuturan harian. Bukan setakat huruf “r”, terdapat beberapa huruf lain yang juga secara tidak langsung kita gugurkan dalam suatu pertuturan misalnya huruf “h”. Contoh kata :

Boleh – Bole
Toleh – Tole
Timah – Tima
Marah – Mara

Gitar – Gita
Tidur – Tido
Sedar – seda
Mekar – meka

     Kesimpulannya, dalam berbicara mengenai bahasa Melayu Tinggi, penggunaan sesuatu bahasa perlulah diselidiki. Penyelidikan mengenai bahasa perlulah diambil kira walau sekecil-kecil kesalahan bahasa perlulah dielakkan. Hal ini bagi memudahkan kejelasan sesuatu pertuturan agar kata-kata yang dilontarkan dapat didengar dengan jelas dan terang.



Bawa mulut

     Isu “bawa mulut” sering kali dianggap negatif oleh masyarakat Melayu kerana kesannya boleh membawa padah kepada penutur dengan orang yang dikata. Saya sering kali melihat orang yang selalu “membawa mulut” ini sering menjaja keaiban orang kepada orang yang lain. Implikasinya, keaiban orang yang dikata akan tersebar dan mungkin juga boleh membawa finah ke atas orang itu. Lazimnya, orang yang suka “membawa mulut” ini sedikit sebanyak akan menokok tambah cerita yang disampaikan.

     Apabila cerita itu telah sampai kepada orang yang seterusnya, penokokan cerita yang lain pasti akan terjadi. Hal seperti inilah boleh menjadi fitnah kepada orang yang dikata. Selain itu, penyelewengan kebenaran akan timbul. Oleh sebab itu, masyarakat kita mencemuh perbuatan-perbuatan seperti suka mengata dan “menjaga tepi kain orang” lalu menjaja kepada orang lain. Adat Melayu juga menegah perkara-perkara tersebut. Hal ini disarankan agar masyarakat Melayu sentiasa mengekalkan hubungan yang baik antara satu sama lain.

     Dalam peribahasa Melayu juga ada mengajar kita agar tidak suka mengata dan menyebarkan keaiban orang kepada orang lain. Misalnya, “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”. Maksud peribahasa ini jelas mengatakan kerana kata-kata yang dikeluarkan, diri sendiri yang menerima padah. Oleh itu, binalah hubungan baik sesama kita. Jangan mengaibkan orang lain jika tidak ingin diri sendiri diaibkan. Tiada manusia yang sempurna daripada segalanya. Oleh itu, sebelum mengata orang lain, cerminlah dulu diri sendiri sama ada layak untuk mengata orang atau tidak. Jika takut dipukul ombak, jangan berumah di tepi pantai.




Sukar memahami bahasa

     Sering kali kita menyuruh rakan kita mengulangi kata-katanya kerana ingin memahami dengan jelas perkataan yang diujarkan. Terdapat beberapa faktor mengapa keadaan ini berlaku. Antaranya disebabkan faktor persekitaran yang bising sehinggakan orang yang mendengar pertuturan tersebut tidak dapat menangkap maksudnya dengan jelas. Dalam situasi ini, kebiasaannya kita akan bercakap dengan kuat bagi melawan bunyi bising tersebut. Antara tempat-tempat yang biasa mengalami keadaan sedemikian adalah seperti di pasar, jalan raya, karnival-karnival, pertunjukan hiburan dan sebagainya. Oleh itu, kata-kata yang dipetuturkan perlulah jelas agar pendengar yang mendengarnya dapat memahami maksud yang ingin disampaikan.


     Lazimnya, pertuturan seumpama ini dipertuturkan dalam suasana yang tidak formal. Misalnya hendak membeli ikan di pasar, penggunaan bahasa yang mudah akan digunakan. Penggunaan struktur bahasanya juga longgar atau sering mengabaikan penggunaan tatabahasa yang betul. Namun dalam situasi seperti ini, isi maklumat menjadi keutamaan berbanding penyusunan ayat yang betul. Misalnya :

Pembeli : Ikan ni berapa sekilo?

Penjual : Lima ringgit je.

 
     Namun berbeza dengan pertuturan secara formal. Pertuturan seperti memerlukan tempat yang terhindar daripada bunyi bising. Misalnya perbincangan mengenai urusan pekerjaan. Perbincangan seperti ini juga boleh dikenali sebagai bermesyuarat yang lazimnya dibuat di dalam satu bilik khas. Situasi ini berbeza dengan situasi yang pertama kerana dalam perbincangan seperti ini memerlukan suasana yang senyap bagi memudahkan maklumat dapat disampaikan dengan berkesan. Selain itu, dengan suasana yang tenang dapat membantu ahli-ahli mesyuarat berfikir dan dapat membuat keputusan yang tepat.


Pasar malam Tanjong Malim


Bilik mesyuarat Jawatankuasa Mahasiswa Kolej KHAR, UPSI

Wednesday, March 16, 2011

Kudapan atau makan tengah hari?



     Salah seorang rakan serumah saya baru-baru ini telah mengadakan kajian ke sebuah tadika.  Dia dipertanggungjawabkan untuk mengkaji menu di tadika tersebut. Setelah selesai membuat kajian, dia telah meminta kepada saya menyemak laporan kajian yang telah dibuatnya. Saya dengan senang hati membantu rakan serumah saya ini yang mengambil Program Pendidikan Awal Kanak-kanak. Setelah saya meneliti laporan yang diberikan, saya terpandang gambar yang telah diambil oleh rakan saya ini. Gambar tersebut ialah gambar menu makanan tadika tersebut seperti yang telah saya muat naik gambar di atas.

     Di sini, saya dapat mengesan kesalahan golongan kudapan dan senarai makanan yang ada di bawahnya. Menurut kamus, kudapan mempunyai beberapa maksud seperti :
  •  Makanan ringan seperti keropok yang dimakan di luar waktu makan.
  • Makanan ringan seperti minuman kopi dan kuih-muih yang dimakan sekadar mengalas perut dalam sesuatu majlis antara waktu minum pagi dan tengah hari atau pada waktu minum petang atau selepas makan malam.
  • Manakala maksud pengudap ialah pengudap orang yang suka mengudap.

     Oleh itu, makanan berat seperti nasi putih dan semua lauk-lauknya tidak sesuai digolongkan sebagai kudapan. Makanan berat ini sesuai diletakkan di bawah makanan tengah hari atau makan malam. Oleh itu, situasi ini terdapat kesalahan menggunakan istilah dalam menyenaraikan subbawahnya.

Tuesday, March 15, 2011

Salah siapa?

Lihatlah kesalahan ejaannya



     Jika dibaca dengan teliti ejaan-ejaan pada papan tanda di atas ini, banyak kesalahan bahasa yang dapat dikesan. Perkataan pertama dapat dikesan pada awal ayat iaitu "Di-larang". Jika disemak dari aspek tatabahasanya, "di" merupakan imbuhan awalan yang dieja secara rapat. Dalam konteks ini, "di" bukanlah kata sendi yang perlu dijarakkan. Kata sendi nama "di" menunjukkan tempat yang tidak sesuai digandingkan dengan kata dasar "larang". Lebih-lebih lagi disempangkan dengan kata dasarnya. Perkara ini amat ketara dalam kesalahan tatabahasanya.


     Kesalahan bahasa yang terdapat pada papan tanda seterusnya ialah ejaan perkataan "di-hadapan". Penggunaan "di" di sini merujuk kepada kata sendi nama yang menunjukkan arah dan tempat iaitu "hadapan". Ejaan yang betul ialah dengan menjarakkan "di" dengan kata dasar "hadapan" tanpa penggunaan sempang.


     Kesalahan yang ketiga yang dapat dilihat melalui ejaan "baisikel2". Konteks ejaan yang digunakan seakan ingin menyamakan bahasa Melayu dengan sebutan bahasa Inggeris iaitu "bicycle". Lalu kata tersebut digandakan dengan bersimbolkan nombor dua. Seharusnya perkataan tersebut perlu digandakan dan disempangakan menjadi "basikal-basikal".


     Saya tidak tahu siapa yang menulis papan tanda dengan ejaan sedemikian. Mungkinkah orang bukan Melayu? Jika orang Melayu sekalipun, saya pasti pengetahuan tatabahasanya amat lemah. Kebanyakan kesalahan bahasa yang digunakan oleh masyarakat seakan tidak mengambil endah. Kesalahan bahasa seperti ini tidak sepatutnya ditunjukkan kepada masyarakat awam yang selalu mengunjungi tempat itu.


   Kesalahan bahasa ini perlu diperbaiki dan ditangani bagi memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia kerana banyak pelancong asing yang mengunjungi negara Malaysia ini. Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera agar kesalahan bahasa ini tidak tercemar terhadap masyarakat umum. Selain itu, peranan penggiat bahasa perlu dirancakkan seperti kempen bahasa agar bersama-sama menangani masalah bahasa ini.

Berbincang untuk sebulat suara

     Peribahasa Melayu ada mengatakan "bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat". Hal ini memperlihatkan orang Melayu dahulu telah mengajar kepada kita agar berbincang dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Melalui cara ini, pelbagai idea dapat diberikan. Begitu juga dengan gaya kehidupan saya di UPSI ini. Kebanyakan tugasan yang diberikan pensyarah turut melibatkan perbincangan antara mahasiswa dan mahasiswi dengan pensyarah mahupun sesama pelajar secara berkumpulan. Dalam sesuatu pelaksanaan program juga melibatkan perbincangan meja bulat sesama organisasi.

    Keputusan dapat dibuat jika masing-masing memberikan perhatian dan saling berkongsi maklumat. Selepas program kebiasaannya akan diadakan  pemeriksaan atau sesi melaporkan sesuatu rancangan yang gagal untuk mengetahui sebab kegagalannya (post-mortem). Ada segelintir individu lazimnya tidak boleh menerima kritikan daripada rakan organisasinya yang mengkritik kegagalannya. Apabila hal ini terjadi, pastinya ada yang terasa hati. Adakah disebabkan masalah emosi yang tinggi menjadikan diri individu itu berkecil hati dengan kata-kata pengkritik? Hal ini juga merupakan masalah yang dipanggil kurang motivasi daripada diri kerana tidak dapat menerima kritikan daripada orang lain. Seorang pemimpin yang baik seharusnya tidak mencampurkan masalah kerja dengan emosi.

     Akan tetapi, kita tidak seharusnya melihat kepada satu pihak sahaja. Kita juga perlu melihat si pengkritik juga. Kadang kala kata-kata yang dilontarkan juga tidak kena pada gayanya. Berdasarkan pengalaman yang telah saya hadapi, ada sesetengah individu yang benar-benar "hentam" gerak kerja orang lain tanpa memikirkan hati dan perasaan orang tersebut. Teguran boleh dibuat kepada bahagian yang gagal melakukan kerjanya mengikut perancangan awal. Kita harus sedar bahawa tidak semua perancangan yang telah diatur sebelum program akan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Masalah secara tidak langsung pasti akan timbul. Oleh itu, pihak pengkritik perlulah tegur dengan berhemah. Gunakan bahasa yang baik untuk menegur, bukan berkata-kata sekadar untuk membuka kelemahan orang itu. Dengan kata-kata itulah yang membolehkan orang yang ditujukan berkecil hati.

     Seeloknya, aturlah kata-kata yang baik sebelum diajukan kepada seseorang. Selain itu, sertakan penambahbaikan agar teguran yang telah diberikan mempunyai pengisian dan kebaikan untuk diaplikasikan ke program yang akan datang. Hal ini dapat mengelakkan daripada cakap kosong dan tidak mengaibkan orang lain.


Gambar hiasan





"Terima kasih" kalimah penghargaan

     Sepatah kata-kata kadang kala boleh membuatkan seseorang yang mendengarnya memberikan pelbagai persepsi terhadap diri penutur. Misalnya ungkapan "terima kasih" sering sahaja digunakan setelah sesuatu perkara dapat dilaksanakan dengan menggunakan khidmat seseorang. Ungkapan "terima kasih" juga merupakan ungkapan yang sopan dan lebih bernilai daripada pemberian sebarang ganjaran. Secara peribadi, saya sendiri akan merasa berbangga dan gembira jika ada pihak yang berterima kasih di atas usaha yang telah dilakukan. Akan tetapi, "terima kasih" memang mudah diucapkan, tetapi sulit untuk menjadi suatu kebiasan. Mungkinkah disebabkan kelas sosial atau status yang diperolehnya. Harus kita ingat bahawa "terima kasih" ini juga merupakan suatu ucapan yang memiliki dimensi bahawa kita merupakan makhluk sosial yang selalu memerlukan bantuan daripada orang lain.

     Begitulah hebatnya panahan ungkapan "terima kasih" daripada penutur kepada orang yang disampaikan. Kadang kala rasa letih membuat kerja menjadi hilang jika orang yang kita bantu itu melontarkan ucapan "terima kasih" kepada diri kita. Terasa diri ini lebih dihargai. Malah, saya juga meneliti pemandu bas di UPSI sendiri yang membawa bas berhari-hari untuk menghantar dan mengambil mahasiswa dan mahasiswi UPSI dari kolej ke dewan kuliah . Saya melihat pemandu-pemandu bas ini tersenyum apabila mahasiswa dan mahasiswi yang menaiki basnya mengucapkan terima kasih setelah penat memandu bas seharian. Walaupun ungkapan "terima kasih" ini ditujukan kepada sekecil-kecil hal, namun akan memberi seribu makna terhadap diri seseorang kerana ucapan ini dapat memberi sekurang-kurangnya kekuatan tenaga positif bagi penerimanya

     Oleh itu, ringankanlah mulut kita untuk mengucapkan dua patah perkataan iaitu "terima kasih" kepada orang yang memberikan perkhidmatan kepada diri kita. Ungkapan sederhana yang terdiri daripada dua kata, tetapi mempunyai makna yang sangat mendalam dan memiliki erti yang besar bagi yang penerimanya. Seungguhnya, ucapan ini dapat memberi peneguhan yang positif yang dapat meningkatkan semula kekuatan diri sendiri.


Gambar hiasan

Satu tanda baca mengundang seribu makna

     Minggu ini merupakan minggu yang paling memuncak dalam hidup saya yang bergelar mahasiswi. Minggu ini merupakan minggu menghantar tugasan. Di samping itu, gerak kerja Program PERBAYU iaitu Minggu Bahasa juga harus dijalankan. Oleh itu, perancangan masa perlu dilakukan segera agar tidak mengganggu urusan antara satu sama lain.

     Apabila terlalu sibuk dengan kerja, kita pasti tidak boleh lari daripada tekanan. Apabila tekanan menguasai diri, pelbagai perspektif negatif akan mengganggu fikiran dan emosi. Saya sendiri tidak terlepas daripada menghadapi tekanan seperti ini. Tetapi alhamdulillah, setakat ini, saya masih boleh mengawal emosi saya dan menghadapi tekanan dengan tenang. Hal ini mungkin disebabkan saya telah merasai pelbagai tekanan sejak saya menjadi Rakan Exco KHAR pada semester 1 dan 2, lalu diteruskan dengan jawatan JMK KHAR pada semester 3 dan 4, lalu bersambung dengan organisasi PERBAYU pada semester 5 sehingga kini.

     Kadang-kadang memang ada keluh-kesah yang terkeluar daripada mulut saya kerana terlalu berat menghadapi tekanan. Namun saya berfikiran positif dengan menganggapnya sebagai satu proses pembelajaran. Saya juga melihat ada rakan-rakan saya yang tidak mampu menghadapi tekanan sehingga melakukan tindakan di luar jangkaan dan secara tidak sengaja. Antara tindakan yang biasa dilakukan ialah dengan menghantar satu mesej dengan satu tanda baca sahaja telah membuatkan bermacam-macam persepsi kepada orang lain. Contoh mesej yang ditaip ialah :

"Tolong hantar buku ini sekarang!"

    Mesej yang dihantar ini boleh mengejutkan orang yang menerima mesej. Pasti orang yang mendapat mesej seperti ini  tergamam seketika apabila membaca mesej yang diberikan. Adalah lebih baik menggunakan kata-kata yang lebih baik dan lembut dalam menyuruh orang melakukan kerja. Tanda seru dibelakang ayat menjadikan mesej ini kurang sopan dan melemahkan orang yang disuruh untuk melakukan kerjanya. Walaupun di pihak yang memberikan mesej ini memerlukan tindakan yang cepat, tetapi bahasa yang digunakan perlulah beretika. 



Cakcibo atau cicakbo

     Kelas Semantik telah memulakan minggu pembentangan. Saya tertarik dengan pembentangan seorang rakan saya mengenai dialek Utara iaitu negeri Perak. Dalam pembentangan tersebut, dia telah menyebut perkataan "cakcibo" yang bermaksud pepatung. Manakala terdapat beberapa orang rakan saya telah bersuara dengan menyebut "cicakbo" yang dikatakan sebutan yang betul. Kawan saya yang menjadi pembentang tadi segera membetulkan ungkapannya tadi daripada "cakcibo" kepada "cicakbo". Kawan saya yang bersuara itu berasal daripada Perlis manakala kawan saya yang menjadi pembentang berasal daripada Kedah.

     Saya yang berasal daripada selatan tanah air iaitu Johor merasa sedikit kekeliruan tentang kedua-dua sebutan ini. Saya cuba mencari di dalam laman web menerusi google dan pencarian web itu telah memberikan maklumat tentang perkataan "cakcibo" yang bermaksud pepatung. Namun, kawan saya yang berasal daripada Perlis itu dengan yakin memberitahu bahawa sebutan yang betul ialah "cicakbo". Lama-kelamaan, saya memikirkan alternatif lain. Saya segera mendapatkan rakan saya  yang berasal daripada Perak bagi membantu kekeliruan yang sedang saya hadapi. Akhirnya, rakan saya yang berasal daripada negeri Perak ini memberikan jawapan sebutan yang betul iaitu "cakcibo".

     Kesimpulannya, dalam memastikan dialek sesuatu daerah, kita perlulah merujuk orang yang benar-benar menggunakan pertuturan kawasan terbabit. Seperti rakan saya yang yakin dengan sebutan "cicakbo" tadi, walaupun dia juga berasal daripada utara tanah air  juga seperti Perak, tapi belum pasti dia memberikan jawapan yang betul sungguhpun dia dengan yakin sekali membetulkan sebutan "cakcibo" semasa pembentangan dilakukan. Oleh itu, penutur asli lebih baik dijadikan bahan kajian sesuatu bahasa berbanding penutur yang menjadi jiran negerinya. 

Cakcibo atau sibu-sibu menurut dialek Johor



Bahasa sendi tamadun bangsa

     Sempena penukaran penasihat Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU) baru-baru ini, saya bersama beberapa orang ahli PERBAYU yang lain telah mengadakan perjumpaan dengan penasihat PERBAYU kini iaitu Dr. Zulkeflee B. Yaacob. Dr. Zul telah menggantikan Dr. Siti Saniah yang sebelum ini juga menyandang jawatan yang sama. Pada pertemuan pertama kami dengan Dr. Zul,  terdapat beberapa pandangan yang telah beliau utarakan. Salah satunya ialah berkaitan dengan motto PERBAYU.

     Sebelum ini, motto PERBAYU ialah "Bahasa Cerminan Bangsa". Motto ini  memperlihatkan bahasa dari pelbagai perspektif ketamadunan, khususnya yang berpadanan dengan tahap-tahap realiti kemanusiaan. Saya berpendapat bahawa betapa pentingnya dasar dan peranan bahasa, termasuklah nilai-nilai yang wujud dalam bahasa tersebut apabila membentuk dan menghasilkan sesuatu tamadun terutamanya tamadun Melayu.     Oleh sebab manusia tidak boleh hidup sendirian, manusia perlu berhubungan sesama mereka. Untuk menjalin hubungan tersebut, cara yang paling mudah adalah menerusi pertuturan, iaitu bahasa yang pada asasnya terdiri daripada kepelbagaian bunyi. Tulisan pula merupakan asas kepada lukisan, khususnya dari perspektif perkembangan tamadun.

     Walaupun semua makhluk dapat berbahasa, hanya manusia yang mempunyai kebolehan kreatif dan kebolehan itu berpandukan kebolehan berbahasa. Daripada ilmu matematik itulah pelbagai reka bentuk dan aspek tamadun dapat diusahakan. Kini, tampuk penasihat PERBAYU telah diambil alih oleh Dr. Zul. Beliau mempunyai pendapat tentang motto baru PERBAYU. Beliau telah mencadangkan agar menggunakan motto "Bahasa Sendi Tamadun Bangsa" untuk motto PERBAYU kali ini. Beliau yang mempunyai pandangannya tersendiri berpendapat bahawa, bahasa diibaratkan sebagai sendi yang menjadi tunjang dalam memperkukuhkan tamadun bangsa terutamanya bangsa Melayu. Menurutnya lagi, tanpa sendi yang kukuh dalam berbahasa, kepincangan dalam masyarakat Melayu akan menerima keruntuhan tamadunnya. Melalui bahasalah orang lain akan menilai kehebatan sesebuah masyarakat tersebut.

     Oleh itu, fungsi dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu perlulah dipertahankan, bukannya diabaikan. Begitu juga dalam pertuturan harian, bahasa amat memainkan peranan yang penting. Negara yang mengabaikan bahasanya sendiri akan meninggalkan kesan terhadap penjajahan rasa, perasaan, akal dan kepercayaan, kerana nilai sesuatu bangsa terletak pada bahasanya.

Dr. Zulkeflee B. Yaacob, Penasihat PERBAYU

 

Sebahagian ahli-ahli PERBAYU bersama AJK-AJK yang menjayakan salah satu program PERBAYU



Kepelbagaian makna

     Awal pagi tadi, saya telah mengahadiri kuliah Modal Insan seperti minggu-minggu yang lalu. Dalam kuliah hari ini, saya telah mempelajari adat budaya Melayu dan peraturan-peraturan adat. Pada masa yang sama, rakan saya mengajak saya berbincang tentang dialek daerah Kedah, Terengganu, Kelantan dan Johor. Jika diteliti, Bahasa Melayu dan dialek ini mempunyai beberapa persamaan dan perbezaan. Di sini, saya dapat kategorikan perkaitan antara bahasa dengan dialek kepada dua iaitu :
  • Sebutan sama tetapi berbeza makna.
  • Sebutan berbeza tetapi makna sama.

    Bagi menerangkan ketegori ini dengan lebih lanjut, saya akan memberikan beberapa contoh kata. Bagi kata yang mempunyai sebutan sama tetapi berbeza makna boleh dilihat melaui kata coklat. Kata "coklat" di negeri Johor bermaksud coklat asli yang diperbuat daripada buah koko dan diadun menjadi coklat yang manis. Manakala berbeza dengan makna "coklat" di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah kerana di negeri-negeri ini memberi pengertian gula-gula. Begitu juga dengan kata "gerak". Gerak bagi orang Johor bermaksud bergerak, berbeza dengan penggunaan makna bagi orang Terengganu dan Kedah yang menggunakan makna "gerak" bermaksud membangunkan seseorang yang sedang tidur.

     Manakala kata yang mempunyai sebutan berbeza tetapi makna sama lazimnya lebih banyak kosa katanya berbanding dengan kata yang mempunyai sebutan sama tetapi berbeza makna. Contohnya "basikal", di negeri Kedah menyebutnya dengan dengan sebutan "gerek". Manakala kata "cakap" pula, orang Kelantan memanggilnya sebutan "kecek". Selain itu, dialek Terengganu kebanyakannya terdapat penambahan konsonan "n" dan "g" contohnya "ikang", "makang" dan "hujang".

     Begitu juga dengan dialek Johor. Walaupun Johor kebanyakannya menggunakan Bahasa Melayu baku, namun, dialek Johor tetap ada. Antara contoh dialek Johor ialah seperti "gebor" (selimut), "gerobok" (almari), "selipor", "sembor" dan sebagainya. Selain itu, di Johor terdiri daripada beberapa suku seperti suku Jawa, Bugis, Banjar dan lain-lain lagi. Mereka mendiami satu kelompok kawasan tertentu dan masih mengamalkan budaya dan cara hidup suku masing-masing.

     Begitulah uniknya Malaysia. Rakyatnya terdiri daripada bangsa Melayu yang mempunyai pelbagai dialek dan bahasa yang hidup bersatu padu di bawah payung Duli Tuanku. Walaupun dialek kita berbeza kerana dipisahkan oleh faktor geografi seperti Banjaran Titiwangsa, namun kita masih masyarakat Melayu yang tiada bezanya. 

Bersama rakan-rakan yang berlainan negeri

Rakan-rakan seperjuangan daripada Kedah dan Terengganu


Retorik

     Karnival di Kolej Harun Aminurrashid baru sahaja berakhir. Pelbagai aktiviti yang telah diadakan. Di samping itu, pembukaan jualan turut menarik minat siswazah-siswazah UPSI untuk membeli-belah. Seperti air duit saya dibuatnya kerana terlalu gemar dengan barang-barang yang dijualkan. Namun, ada satu hal yang membuatkan saya sedikit tidak berpuas hati. Bukan tidak berpuas hati kepada aktiviti anjuran Kolej Harun Aminurrashid ini, tetapi terhadap salah seorang penggerai yang pandai bermain kata.

     Ingin dijadikan cerita, sewaktu saya melewati hadapan gerainya, penggerai ini panggil untuk melihat barang-barang yang dijualnya. Saya pun masuk ke gerainya dan melihat-lihat barang-barang jualannya. Penggerai ini pula menggunakan pelbagai-bagai jaminan agar saya membeli barangannya. Sehingga satu tahap, penggerai ini mengatakan barangan yang dijualnya amat berkualiti dan tidak akan rosak. Disebabkan barangan yang ditawarkan merupakan barangan yang saya perlukan untuk masa akan datang, saya akhirnya membelinya. Manakala, penggerai itu dengan yakinnya telah memberikan surat waranti kepada saya.

     Setibanya saya di rumah, saya mencuba menggunakan barangan itu dengan berhati-hati. Namun tidak sampai seminit barangan itu rosak. Saya berfikir semula, jika barang ini berkualiti dan siap ada waranti, tidak mungkin barang ini akan rosak sedangkan saya baru sahaja membelinya. Beginilah asam garam peniaga-peniaga di Malaysia. Mereka hanya memikirkan keuntungan sahaja tanpa memikirkan kebajikan dan keselamtan orang yang membelinya. Mereka sanggup memperdaya pelanggan dengan menggunakan kata-kata. Semua itu retorik semata-mata.
 



Bahasa pengikat ukhuwah

     Baru-baru ini, saya telah menghadiri sebuah perkampungan Melayu Johor yang melangsungkan pertandingan permainan gasing. Gasing merupakan sejenis permainan tradisioanal yang begitu popular dalam kalangan anggota masyarakat pada suatu ketika dahulu. Kepenatan membanting tulang  dalam mencari rezeki menyebabkan  orang Melayu pada suatu ketika dahulu mencari alernatif untuk bergembira tanpa mengeluarkan belanja yang besar dan menggunakan bahan terbuang.


     Hal ini telah menimbulkan idea kepada masyarakat Melayu untuk mencipta permainan gasing  yang diperbuat daripada saki-baki kayu yang terbuang. Pelbagai faedah boleh didapati daripada permainan gasing ini. Selain dijadikan sebagai hiburan dan juga memanfaatkan bahan terbuang, permainan gasing juga dapat mengembangkan idea-idea masyarakat Melayu, dan ini terbukti dengan kemunculan pelbagai bentuk gasing dan teknik permainannya.


     Saya lihat penduduk kampung di sini mempunyai semangat toleransi yang tinggi sehinggakan mereka menganggap saudara antara sesama mereka. Gasing bukan sahaja menjadi permainan orang dewasa malah turut dimainkan oleh golongan remaja dan kanak-kanak. Mereka bermain gasing untuk beradu kemahiran, kecekapan, kepantasan, dan kerjasama berpasukan. Di samping itu, mereka juga dapat mengeratkan hubungan sesama mereka dan berpeluang berbincang tentang pelbagai perkara.


     Namun, dalam kalangan mereka, mereka menggunakan bahasa Jawa dalam bertutur sesama mereka. Walaupun saya tidak faham, namun saya hormat dengan cara hidup mereka dan lebih-lebih lagi mereka terdiri daripada golongan warga tua. Saya difahamkan oleh masyarakat kampung itu bahawa dengan bahasalah merupakan salah satu penyatuan masyarakat di kampung ini. Selain itu, melalui bahasa juga kampung ini dikenali dan mempunyai keunikan yang tersendiri. Saya juga tertarik dengan anak-anak muda di kampung itu yang fasih dalam bahasa Jawa.


     Kesimpulannya, individu yang mendiami kelompok budaya sesuatu kumpulan, pengaruh budaya tersebut mudah meresap ke dalam dirinya. Misalnya saya merupakan keturunan Bugis tetapi dibesarkan di kawasan yang bukan didiami oleh kelompok budaya Bugis, maka kebudayaan Bugis itu kurang dipraktikkan dalam diri saya. Saya juga tidak fasih dalam berbahasa Bugis dan hanya mengetahui beberapa perkataan bahasa Bugis sahaja. Berbanding dengan kampung yang saya lawati tadi, masyarakatnya fasih berbahasa Jawa dan mengamalkan budaya Jawa dari usia muda sehingga ke tua. 






Bahasa dan teater



      6 Mac 2011 merupakan tarikh yang menjadi kenangan abadi kepada diri saya kerana pada tarikh tersebut telah memberi peluang untuk berteater buat kali yang pertama. Jika sebelum ini hanya berpengalaman dalam berdrama sebanyak dua kali, namun pengalaman berteater terdapat sedikit cabaran berbanding berdrama. Hal ini disebabkan teater kali ini merupakan anjuran terbuka UPSI dan saya sendiri bersama produksi Cicit Mak Dara telah mewakili Fakulti Bahasa dan Komunikasi dalam Festival Teater UPSI tersebut.

     Barisan juri yang mengadili teater saya juga terdiri daripada penggiat-penggiat teater yang hebat. Banyak komen yang diujarkan kepada produksi saya dan kami semua mengambil komen tersebut sebagai satu input bagi membuat penambahbaikan pada masa yang akan datang. Salah satu komen yang ingin saya kongsikan di sini ialah berkaitan dengan bahasa yang dikesan oleh juri tersebut. Juri tersebut telah mengaitkan bahasa dengan pewakilan Fakulti Bahasa dan Komunikasi melalui teater yang telah saya dan produksi persembahkan. Satu persoalan yang timbul daripadanya ialah kami terlalu menjaga bahasa sedangkan dalam realiti kehidupan, bahasa-bahasa mudah dan bahasa rojak sering kali digunakan.

    Secara peribadinya, saya berpendapat bahawa tidak salah jika kita mengetengahkan Bahasa Melayu kita dalam teater. Hal ini disebabkan jarang sekali orang berteater dengan menggunakan Bahasa Melayu yang betul. Hal ini boleh dijadikan satu kelainan yang kami persembahkan. Kita juga boleh menggunakan medium teater sebagai salah satu cara untuk pengembangan bahasa. Bahasa Melayu perlu dimartabatkan, bukan diperlekehkan.




Bersama produksi Cicit Mak Dara








Antara babak tegang yang dilakonkan




Saya budak baru belajar

     Saya mempunyai beberapa orang kawan yang berasal daripada beberapa buah negeri yang berlainan. Antaranya ialah Sarawak dan Kelantan. Saya masih ingat lagi sewaktu mula-mula menjejakkan kaki di UPSI ini. Saya akui saya sukar memahami kebanyakan dialek yang dipertuturkan oleh rakan-rakan saya. Namun, bila saya semakin rapat dengan mereka, dialek yang dipertuturkan sebenarnya terdapat satu keunikan yang tersendiri. Saya mencuba untuk bertutur seperti orang Sabah, Terengganu, Kedah mahupun Kelantan.

      Namun, saya telah mendapat berbagai-bagai komen daripada rakan-rakan saya tersebut. Apabila saya bertutur dengan menggunakan dialek mereka, ada yang memberi komen dialek saya seperti Bahasa Indonesia dan ada juga yang mengatakan saya seperti orang Siam sedang bercakap. Ada yang gelakkan cara pertuturan saya, namun bagi saya, hal ini merupakan satu proses pembelajaran. Ternyata lidah saya ini susah hendak menyebut dialek-dialek negeri ini. Oleh itu, saya memahami masalah dialek terhadap sebahagian rakan saya yang susah untuk menyebut Bahasa Melayu Baku. Hal ini disebabkan mereka telah biasa menyebut dialek daerah mereka sebelum ini.

     Saya telah menjalankan pemerhatian terhadap 2 orang rakan yang berada di UPSI ini. Tiga rakan saya ini mengalami masalah penyebutan atau pertuturan kerana masalah alat artikulasi ataupun masalah dialek. Langkah-langkah serta aliran kerja yang telah dijalankan adalah seperti mengkaji dan mengenal pasti latar belakang ketiga-tiga responden dan meneliti permasalahan penyebutan perkataan. Terdapat beberapa perkataan yang berbeza dengan penyebutan Bahasa Melayu Baku seperti contoh di bawah ini


Bahasa Melayu Baku :
Malaysia
Cina
Melayu

Dialek Kelantan :
Mleјsia
čino
Mlaјu

Dialek Sarawak :
Mlaјsia
China
Mlaјu
     Kesimpulannya Bahasa itu terdiri daripada sekumpulan dialek yang bersaling kaitan antara satu sama lain. Ciri perkaitan ini merupakan asas penting yang menentukan sama ada sesuatu ragam itu dialek kepada satu bahasa yang sama ataupun berdiri sebagai satu bahasa yang tersendiri. Dialek-dialek yang tergolong dalam satu bahasa yang sama itu lazimnya mempunyai banyak ciri persamaan di samping terdapat juga beberapa ciri perbezaan.

     Perkongsian ciri persamaan menunjukkan bahawa dialek-dialek tersebut mengekalkan ciri-ciri warisan yang diwarisi bersama daripada bahasa sumber, manakala perbezaan itu pula menggambarkan sesuatu dialek itu telah mengalami perkembangan secara tersendiri dan terpisah daripada dialek-dialek lain.

Monday, March 14, 2011

Banyak kosa kata baru dalam kamus

     Secara umumnya, semua orang telah mengetahui bahawa kamus merupakan rujukan utama dalam mencari sesuatu makna. Tidak dinafikan bahawa sewaktu saya bersekolah rendah dahulu guru saya juga menyarankan saya untuk merujuk kamus dalam memberikan makna-makna kata tertentu. Sewaktu itu, saya meminati kamus-kamus bergambar. Hal ini dapat menarik minat saya dalam membaca kamus tersebut. Apabila saya telah meningkat besar, saya lebih cenderung merujuk kamus-kamus yang bersesuaian dengan tahap pelajaran saya seperti merujuk Kamus Seerti, Kamus Dewan dan lain-lain lagi.

     Baru-baru ini, saya telah membuat satu tugasan yang perlu saya siapkan dengan segera. Dalam menelaah kata-kata yang sesuai untuk digunakan dalam penulisan ilmiah saya, saya telah mengambil inisiatif untuk mencari perkataan yang terdapat di dalam kamus. Sedang saya mengkaji kata-kata tertentu, saya telah menemui beberapa kata yang saya sendiri tidak pernah dengar sebelum ini. Misalnya :

Amsal = saperti / umpama
Kelarai = corak
Sembayan = madu
Sember = pecah
Ugah = berubah
Temaah = haloba / tamak

     Sesungguhnya saya tidak pasti di mana dan pada masa bila kosa kata seperti ini digunakan. Mungkinkah ada kelompok masyarakat yang menggunakan kosa kata ini sebagai salah satu dialek mereka. Namun, inilah persoalan yang sering bermain dalam minda saya. Jika diteliti lagi, terdapat banyak lagi kosa kata Melayu yang terdapat di dalam kamus Bahasa Melayu. Jika sebelum ini saya tidak tahu makna skemata(bermaksud pengalaman sedia ada), kini saya boleh menggunakan kosa kata itu di dalam penulisan ilmiahsaya di samping memperkembangkan lagi kosa kata bahasa Melayu. Lebih-lebih lagi Institusi Pengajian Tinggi kini menggalakkan penyebaran kosa kata Bahasa Melayu dengan lebih meluas daripada para siswazah universiti sendiri.




   

Indah bahasanya

    Bahasa Melayu terkenal dengan bahasa kiasan dan kesopanannya. Bahkan, pensyarah-pensyarah bahasa juga ada yang terdiri daripada tokoh-tokoh sastera tempatan. Nama-nama unggul seperti A. Halim Ali, Talib Samat, Rosli Saludin dan Arif Mohammad antara nama-nama yang terkenal dengan penulisan kreatif dan penggunaan bahasa yang indah. Baru-baru ini, saya bersama dengan beberapa orang rakan saya telah menjalankan satu kajian mengenai seorang tokoh sastera dalam kursus Keterampilan Penulis yang dikelolai oleh Dr. Halim Ali. Kami bersepakat untuk menemu ramah dengan seorang tokoh sastera iaitu Ramli Daud, seorang sastera peneroka di Felda Sungai Klah, Perak.




Ramli Daud

     Tujuan kami menemu ramah beliau adalah untuk mendapatkan maklumat mengenai biografi dan pengalaman menulis karya beliau. Di samping itu, saya amat tertarik dengan gaya bahasa panggilan yang ditujukan kepada kami. Tokoh ini telah membahasakan diri kami dengan panggilan "anakanda". Saya yang mendengarnya amat menyenangi penggilan  itu kerana sebelum ini tidak pernah lagi orang menggelarkan diri saya dengan gelaran seumpama ini. Namun, bagi diri beliau pula, beliau lebih mesra dengan panggilan "pak cik". Selepas kami melangkah kaki untuk pulang, beliau sempat memberikan laman facebooknya kepada kami. Selepas kami pulang, kami berhubung semula dengan beliau. Disebabkan panggilan "anakanda" masih kekal ditujukan kepada saya, saya tanpa segan silu menukar panggilan dirinya daripada "pak cik" kepada "ayahanda" ketika berhubung di facebook. Kami selesa dengan panggilan itu dan terus kekal sehingga hari ini.

     Saya amat menyanjung tinggi ayahanda Ramli Daud atas sifat kebapaan dan keramahannya. Sifatnya yang bersahaja dan penyayang merasakan beliau seperti ayah saya sendiri. Semuanya bermula dengan kata sapaan "anakanda". Sungguh indah panggilan itu. Calang-calang orang untuk menggunakan panggilan tersebut. Mungkin ayahanda Ramli Daud ini seorang ahli sastera, beliau telah mempelbagaikan bahasa menjadikan bahasa yang telah biasa diolah  menjadi bahasa yang indah.



Kenangan bersama ayahanda Ramli Daud