CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!

Tuesday, March 15, 2011

Berbincang untuk sebulat suara

     Peribahasa Melayu ada mengatakan "bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat". Hal ini memperlihatkan orang Melayu dahulu telah mengajar kepada kita agar berbincang dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Melalui cara ini, pelbagai idea dapat diberikan. Begitu juga dengan gaya kehidupan saya di UPSI ini. Kebanyakan tugasan yang diberikan pensyarah turut melibatkan perbincangan antara mahasiswa dan mahasiswi dengan pensyarah mahupun sesama pelajar secara berkumpulan. Dalam sesuatu pelaksanaan program juga melibatkan perbincangan meja bulat sesama organisasi.

    Keputusan dapat dibuat jika masing-masing memberikan perhatian dan saling berkongsi maklumat. Selepas program kebiasaannya akan diadakan  pemeriksaan atau sesi melaporkan sesuatu rancangan yang gagal untuk mengetahui sebab kegagalannya (post-mortem). Ada segelintir individu lazimnya tidak boleh menerima kritikan daripada rakan organisasinya yang mengkritik kegagalannya. Apabila hal ini terjadi, pastinya ada yang terasa hati. Adakah disebabkan masalah emosi yang tinggi menjadikan diri individu itu berkecil hati dengan kata-kata pengkritik? Hal ini juga merupakan masalah yang dipanggil kurang motivasi daripada diri kerana tidak dapat menerima kritikan daripada orang lain. Seorang pemimpin yang baik seharusnya tidak mencampurkan masalah kerja dengan emosi.

     Akan tetapi, kita tidak seharusnya melihat kepada satu pihak sahaja. Kita juga perlu melihat si pengkritik juga. Kadang kala kata-kata yang dilontarkan juga tidak kena pada gayanya. Berdasarkan pengalaman yang telah saya hadapi, ada sesetengah individu yang benar-benar "hentam" gerak kerja orang lain tanpa memikirkan hati dan perasaan orang tersebut. Teguran boleh dibuat kepada bahagian yang gagal melakukan kerjanya mengikut perancangan awal. Kita harus sedar bahawa tidak semua perancangan yang telah diatur sebelum program akan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Masalah secara tidak langsung pasti akan timbul. Oleh itu, pihak pengkritik perlulah tegur dengan berhemah. Gunakan bahasa yang baik untuk menegur, bukan berkata-kata sekadar untuk membuka kelemahan orang itu. Dengan kata-kata itulah yang membolehkan orang yang ditujukan berkecil hati.

     Seeloknya, aturlah kata-kata yang baik sebelum diajukan kepada seseorang. Selain itu, sertakan penambahbaikan agar teguran yang telah diberikan mempunyai pengisian dan kebaikan untuk diaplikasikan ke program yang akan datang. Hal ini dapat mengelakkan daripada cakap kosong dan tidak mengaibkan orang lain.


Gambar hiasan





No comments:

Post a Comment