CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!

Tuesday, March 15, 2011

Kepelbagaian makna

     Awal pagi tadi, saya telah mengahadiri kuliah Modal Insan seperti minggu-minggu yang lalu. Dalam kuliah hari ini, saya telah mempelajari adat budaya Melayu dan peraturan-peraturan adat. Pada masa yang sama, rakan saya mengajak saya berbincang tentang dialek daerah Kedah, Terengganu, Kelantan dan Johor. Jika diteliti, Bahasa Melayu dan dialek ini mempunyai beberapa persamaan dan perbezaan. Di sini, saya dapat kategorikan perkaitan antara bahasa dengan dialek kepada dua iaitu :
  • Sebutan sama tetapi berbeza makna.
  • Sebutan berbeza tetapi makna sama.

    Bagi menerangkan ketegori ini dengan lebih lanjut, saya akan memberikan beberapa contoh kata. Bagi kata yang mempunyai sebutan sama tetapi berbeza makna boleh dilihat melaui kata coklat. Kata "coklat" di negeri Johor bermaksud coklat asli yang diperbuat daripada buah koko dan diadun menjadi coklat yang manis. Manakala berbeza dengan makna "coklat" di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah kerana di negeri-negeri ini memberi pengertian gula-gula. Begitu juga dengan kata "gerak". Gerak bagi orang Johor bermaksud bergerak, berbeza dengan penggunaan makna bagi orang Terengganu dan Kedah yang menggunakan makna "gerak" bermaksud membangunkan seseorang yang sedang tidur.

     Manakala kata yang mempunyai sebutan berbeza tetapi makna sama lazimnya lebih banyak kosa katanya berbanding dengan kata yang mempunyai sebutan sama tetapi berbeza makna. Contohnya "basikal", di negeri Kedah menyebutnya dengan dengan sebutan "gerek". Manakala kata "cakap" pula, orang Kelantan memanggilnya sebutan "kecek". Selain itu, dialek Terengganu kebanyakannya terdapat penambahan konsonan "n" dan "g" contohnya "ikang", "makang" dan "hujang".

     Begitu juga dengan dialek Johor. Walaupun Johor kebanyakannya menggunakan Bahasa Melayu baku, namun, dialek Johor tetap ada. Antara contoh dialek Johor ialah seperti "gebor" (selimut), "gerobok" (almari), "selipor", "sembor" dan sebagainya. Selain itu, di Johor terdiri daripada beberapa suku seperti suku Jawa, Bugis, Banjar dan lain-lain lagi. Mereka mendiami satu kelompok kawasan tertentu dan masih mengamalkan budaya dan cara hidup suku masing-masing.

     Begitulah uniknya Malaysia. Rakyatnya terdiri daripada bangsa Melayu yang mempunyai pelbagai dialek dan bahasa yang hidup bersatu padu di bawah payung Duli Tuanku. Walaupun dialek kita berbeza kerana dipisahkan oleh faktor geografi seperti Banjaran Titiwangsa, namun kita masih masyarakat Melayu yang tiada bezanya. 

Bersama rakan-rakan yang berlainan negeri

Rakan-rakan seperjuangan daripada Kedah dan Terengganu


No comments:

Post a Comment